Wednesday, October 2, 2013

Penutupan Operasi Kerajaan Amerika Tidak Memberi Impak Besar Pada Malaysia

Berita tergempar mengenai kerajaan Amerika Syarikat yang terpaksa menghentikan operasi akibat perbalahan antara parti politik membuat seluruh dunia tersentak.

Tindakan ini merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh 17 tahun setelah Kongres menolak rancangan pelan kesihatan Obamacare yang berbentuk subsidi insuran ke atas golongan berpendapatan rendah.  Skim tersebut telah dibantah keras oleh parti Republikan dengan alasan bahawa Skim Insurans itu tidak boleh diluluskan selagi kerajaan Amerika terus menawarkan Skim Affordable Care.

Bagaimanapun, menurut satu kajiselidik yang dijalankan oleh CNBC, kedua-dua Skim Obamacare dan Affordable Care adalah sama namun hakikat bahawa nama ‘Obama’ dalam skim baru ini telah menyebabkan reaksi yang berbeza.

Akibatnya, ia telah ditolak oleh kongres setelah tidak dapat mencapai persetujuan 2/3 yang mana membawa kepada tindakan menutup operasi kerajaan persekutuan.  Dewan Senat yang diketuai Demokrat enggan menyokong cadangan Dewan Rendah yang diketuai Republikan dengan undian 54 menolak, 46 menyokong.

Keputusan yang mengejutkan ini bakal menyebabkan sekurang-kurangnya 800,000 kakitangan kerajaan Persekutuan berhadapan dengan masa depan yang kabur.  Kakitangan dalam sektor kritikal seperti yang berkaitan keselamatan negara dan kesihatan bagaimanapun, berada dalam keadaan selamat kerana khidmat mereka diperlukan bagi memastikan negara terus berfungsi seperti biasa.

Justeru, kita tidak menjangkakan sebarang impak besar ke atas negara itu, melainkan impak terhadap individu yang terlibat dengan kesan sampingan yang terhad dari segi ekonomi mikro.

Sehubungan dengan itu juga, kita tidak menjangkakan kesan yang besar terhadap ekonomi negara ini memandangkan Malaysia mempunyai hubungan dagangan yang meluas dan bukannya dengan Amerika Syarikat sahaja.

Ini turut membuktikan kebijaksanaan kerajaan Malaysia suatu masa dahulu untuk mengurangkan kebergantungan kepada Amerika serta menjalin hubungan dagangan yang lebih meluas terutama dengan China dan Jepun.  Ternyata kini, apa yang dikhuatiri telah pun berlaku di mana negara-negara barat, termasuk Amerika mula mengalami zaman kemerosotan.  Tetapi, kedudukan Malaysia yang bebas dan teguh menyebabkan negara ini tidak menerima kesan ketara.

Kita sedia maklum bahawa perbalahan mengenai skim insuran oleh parti-parti politik di Amerika adalah bertitik-tolak dari keadaan ekonomi negara itu yang genting.  Dengan perkembangan terbaru ini, tidak mustahil apa berlaku sebenarnya adalah jauh lebih buruk dari yang dapat kita bayangkan.

Justeru, tidak hairanlah akhir-akhir ini kuasa besar itu giat berusaha memaksa berbagai polisi dan dasar ke atas negara-negara lain bagi menyelamatkan ekonominya.

Amerika Syarikat selama ini bersikap seolah-olah dunia ini milik mereka.  Boleh dikatakan negara kuasa besar itu telah sejak azali lagi gemar membazirkan wang untuk peperangan selain ‘pelaburan untuk menakluk ekonomi negara lain’.

Bayangkan betapa banyak wang rakyat Amerika diguna untuk melobi, para agen, alat, boneka, propaganda, slogan, publisiti, promosi dan berbagai perkara yang tidak berfaedah yang tidak mampu menjana ekonomi. Akibatnya, biarpun berjaya menakluk beberapa negara secara tidak langsung, hasilnya masih tidak mampu menampung, jauh sekali membawa untung kepada negara itu.

Dalam keadaan ini, semua negara-negara di dunia harus mengambil langkah yang lebih berhati-hati dengan Amerika Syarikat.  Negara itu pasti akan menggunakan seluruh kuasa dan cara yang ada untuk memulihkan ekonomi mereka.  Sepertimana yang telah tercatat dalam sejarah, cara yang diambil seringkali tidak mengambilkira kesan ke atas negara-negara lain. Yang penting bagi mereka hanyalah kesejahteraan rakyat Amerika sahaja.

Apapun, rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana sejak dahulu sehingga kini, kita mempunyai kerajaan yang cekap dan mampu melihat ke hadapan bagi memastikan rakyat tidak terjejas teruk dengan ‘kejutan-kejutan’ yang berlaku dalam ekonomi dunia.

Sumber:  Beruang Biru

No comments:

Post a Comment