Buat masa ini, kebanyakan dari rakyat Kedah tanpa mengira parti masih lagi berkabung atas kembalinya Tan Sri Azizan Razak ke rahmatullah.
Biar apapun kelemahan pentadbiran beliau, tiada siapa dapat menafikan sifat amanah dan kejujuran beliau dalam memperkatakan soal agama. Allahyarham dihormati di kalangan musuh sebagai seorang yang berpendirian teguh namun, malang sekali, atas alasan yang sama juga arwah diragui di kalangan rakan hanya kerana enggan meneggakkan benang yang basah.
Kerana ketokohannya, acara pengebumian Tan Sri Azizan menyaksikan ribuan manusia sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk. Adalah dilaporkan di kalangan keluarga beliau sendiri tidak sempat menghadiri pengebumiannya akibat tersekat dalam kesesakan. Ada juga di kalangan warga emas yang terpaksa membatalkan niat untuk menghadirinya kerana tidak mampu berjalan jauh memandangkan tiada ruang untuk meletak kereta lagi di kawasan sekitar.
Begitulah pemergian arwah amat dirasai dan ditangisi oleh semua yang tahu menghargai perjuangan murninya yang berasaskan perpaduan ummah.
Namun, lumrah dunia ini adalah terikat pada peraturan di mana yang hidup perlu meneruskan kehidupan. Dan peraturan itu juga menyatakan bahawa Pilihanraya Kecil perlu diadakan segera bagi menentukan wakil DUN Sungai Limau yang sebelum ini disandang oleh arwah.
Dato’ Mukhriz yang diketahui begitu kerap melawat arwah ketika sakit dan paling pantas tiba menziarahi jenazah di hospital kini perlu berhadapan dengan cabaran besar untuk memastikan BN berjaya mengatasi PAS dalam PRK Sungai Limau. Cabaran ini sekali gus merupakan cabaran peribadi ke atas kemampuannya terutama dalam menghadapi pertandingan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan nanti.
Kerusi Sungai Limau telah menjadi kerusi ‘tetap’ arwah sejak 1995 lagi tanpa gagal. Justeru, cabaran yang dihadapi oleh Mukhriz bukannya calang-calang kerana orang-orang Sungai Limau sudah terlalu biasa dengan PAS, yakni, dengan Ustaz Azizan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa memilih Ustaz Azizan dan PAS bagaikan ‘kewajiban’ kalaupun bukan ‘budaya’ masyarakat setempat.
Faktor calon pastinya memainkan peranan besar dalam PRK ini. Setakat ini 3 nama telah disebut-sebut sebagai calon BN, namun masih tiada kepastian lagi.
Untuk negeri Kedah, Sungai Limau adalah kawasan ‘terbaik’ bagi PAS selepas Tokai.
Dalam PRU-13, terdapat 27,287 pengundi berdaftar di Sungai Limau dan peratusan mengundi ialah 89.43%. Dari jumlah itu, 93% adalah dari kaum Melayu dan 7% lagi adalah Cina.
Apa yang menarik ialah Ustaz Azizan pada waktu itu dicabar oleh sepupunya sendiri iaitu Fadzillah Mohd Ali serta dua lagi calon Bebas. Arwah menang dengan 13,294 mengatasi Fadzillah yang mendapat 10,520 undi. Calon-calon Bebas masing-masing hanya berjaya mendapat tidak lebih dari 100 undi.
Jumlah majoriti kemenangan Ustaz Azizan bagaimanapun menurun dari 3,212 pada 2008 kepada 2,774 pada 2013.
Hakikat bahawa arwah ditentang oleh sepupunya sendiri dan menang dengan jumlah majoriti yang berkurangan, boleh dilihat sebagai petanda bahawa BN mempunyai peluang untuk menang di sini.
Apa yang pasti, bahawa bukan semua, termasuk dari keluarga Ustaz Azizan sendiri di Sungai Limau, yang mendokong perjuangan PAS. Malah, jika kena calonnya dan kena gayanya, orang-orang Sungai Limau mampu beralih arah kepada BN.
Pembaharuan pemikiran generasi baru mungkin merupakan antara sebab majoriti Ustaz Azizan menurun sedikit dalam PRU lalu. Sedikit demi sedikit penduduk Sungai Limau pastinya mendambakan pembangunan yang mampu membawa peluang pekerjaan dan mengeluarkan mereka dari keadaan statik sejak berkurun lalu. Jika perkara ini dapat ditekankan dengan betul, tidak mustahil BN mampu merampas Sungai Limau dari PAS.
Selain itu, secara dasarnya, Sungai Limau tiada bezanya dengan kawasan-kawasan PAS yang lain. Rata-rata penduduknya meletakkan agama sebagai faktor utama untuk memilih pemimpin. Kalau tidak salah, terdapat sekurang-kurangnya 4 sekolah agama berkonsepkan pondok di kawasan ini. Ini sudah cukup untuk menggambarkan kehendak dan kecenderungan masyarakat di sini.
Justeru, BN perlu memastikan calon yang diletakkan mempunyai pegangan dan pengetahuan agama yang cukup mantap bagi meyakinkan penduduk setempat.
Kesimpulannya, sekiranya BN serius untuk menang di sini, maka kepimpinan perlu meletakkan calon yang mempunyai pengetahuan agama yang cukup serta mampu pula membawa perubahan dan anjakan pemikiran serta pembangunan di Sungai Limau.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment