SOAL syarat pemilihan parti yang ketat menjadi topik bualan hangat. Ramai calon terutama yang tiada jawatan dalam kerajaan atau hanya bertanding melibatkan ahli jawatankuasa bahagian gusar memikirkan bagaimana cara terbaik untuk mereka berkempen dan memperkenalkan diri kepada anggota parti.
"Kalau bertanding peringkat tertinggi bolehlah Badan Perhubungan UMNO negeri uruskan sesi perkenalan tetapi bagaimana dengan saya yang hanya bertanding di bahagian, adakah ketua bahagian hendak anjurkan untuk kami semua. Kalau ketua bahagian tidak sealiran dengan saya bagaimana?" demikian luah seorang calon Naib Ketua bahagian di negeri ini.
Calon-calon yang bertanding masing-masing risau terlanggar 'garisan merah' yang ditetapkan parti. Namun, apa yang penting bagi mereka ialah bagaimana untuk sama-sama merasakan proses transformasi melalui pemilihan terbuka dalam parti kali ini.
Dalam hal ini, kesepakatan yang ditunjukkan oleh satu bahagian UMNO di negeri ini wajar dijadikan contoh. Ketua bahagiannya mengambil sikap mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada muka baharu. Meskipun pada pemilihan kali ini saingan di peringkat ketua bahagian begitu sengit, para pemimpin bahagian tersebut sepakat mengadakan kempen secara lebih sihat.
Kalau sebelum ini sudah menjadi kebiasaan, seseorang calon menggunakan pendekatan blok atau istilah kapal atau bakul. Bermula daripada jawatan ketua bahagian hinggalah kepada ahli jawatankuasanya, semuanya berdasarkan susunan awal yang ditetapkan sebelum pemilihan.
"Jika UMNO tidak mahu melihat perpecahan selepas pemilihan, satu pendekatan baharu perlu dilakukan dengan menolak dan meninggalkan cara lama bertanding menggunakan kapal atau bakul," kata seorang aktivis parti.
Ini kerana dengan cara kempen mengikut kapal masing-masing, maka dari awal-awal lagi perpecahan telah tercetus. Kalau ada empat calon ketua bahagian maka akan wujud empat kumpulan berbeza.
Dalam satu-satu kapal atau bakul, pasti ada yang menang dan kalah. Yang menang akan menguasai kepimpinan tetapi malangnya, pihak yang kalah bersama-sama pengikut masing-masing mula bersikap menjauhkan diri daripada kepimpinan parti yang baharu.
Perpecahan tersebut sudah tentu memberikan kesan kepada ahli biasa yang mungkin pada mulanya akan bosan dengan perbalahan dalam kalangan pemimpin tetapi lama-kelamaan mereka bersikap menjauhi aktiviti parti.
Memandangkan pemilihan parti kali ini menampilkan ramai muka baharu termasuk golongan muda, UMNO sudah menunjukkan peluang untuk menjalani proses meremajakan parti.
Darah baharu patut dibiarkan mengalirkan dalam batang tubuh parti. Untuk itu juga parti harus memakmurkan proses demokrasi dengan memberikan peluang kepada calon yang bertanding memperagakan dirinya tanpa sekatan atau halangan dengan tercipta 'kapal' atau 'bakul'.
Keadaan yang mana seseorang calon tidak dibenarkan menembusi sesuatu kawasan yang sudah dikuasai oleh pemimpin tertentu tidak wajar berlaku sekiranya kempen benar-benar dilakukan secara bebas.
Ini kerana jika semasa kempen masing-masing tidak mengambil sikap memilih kapal tertentu, maka siapa sahaja yang terpilih menjadi ketua boleh menerima dan bekerjasama dengan siapa sahaja timbalan dan naib serta ahli jawatankuasa yang menang.
Seperkara lagi, pemilihan parti sewajarnya tidak dijadikan platform untuk memburuk-burukkan atau membuka pekung calon yang lain dalam usaha meraih sokongan. Jika seorang melakukan begitu, maka sudah pasti orang lain bertindak melakukan perkara yang sama.
Tindakan sedemikian hanya memberikan peluang kepada parti pembangkang atau musuh untuk menghidu kelemahan para pemimpin parti. Tiba ketika pilihan raya umum nanti, pembangkang akan menjadikan perkara itu sebagi modal untuk melemahkan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment